Akta-akta yang terlibat dalam pengiklanan

Di Malaysia, pengiklanan dikawal oleh beberapa undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan pengiklanan yang dibuat mengikut etika, tepat dan adil.

Peraturan ini merangkumi pelbagai aspek, daripada perlindungan pengguna sehinggalah kepada sekatan tertentu pada kandungan iklan, bergantung pada jenis industri.

Berikut ialah akta yang berkaitan pengiklanan:

1. Communications and Multimedia Act 1998 (CMA)

Communications and Multimedia Act 1998 (CMA) atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengawal selia kandungan siaran di radio, televisyen dan platform dalam talian. Iklan yang mengbaui mata, mengelirukan atau menyinggung perasaan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang ini.

2. Akta Perihal Dagangan 2011

Akta ini penting kepada perniagaan dalam pengiklanan kerana ia melarang perihalan dagangan palsu. Iklan mestilah benar tentang sifat, kualiti dan kuantiti barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Akta ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada maklumat yang mengelirukan.

3. Akta Perlindungan Pengguna 1999

Di bawah akta ini, amalan pengiklanan tidak boleh mengelirukan atau mengabui mata pengguna. Ia secara khusus melindungi pengguna dan menghalang syarikat daripada membuat penerangan palsu atau salah tentang produk atau perkhidmatan mereka dalam iklan yang dipaparkan.

4. Personal Data Protection Act 2010 (PDPA)

Personal Data Protection Act 2010 (PDPA) atau Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Untuk pemasaran digital dan pengiklanan dalam talian, PDPA berperanan mengawal cara syarikat mengumpul dan menggunakan data peribadi untuk tujuan pengiklanan. Pengiklan mesti mendapatkan persetujuan daripada individu sebelum mengumpul data peribadi dan memastikan data digunakan untuk tujuan yang sah.

5. Advertising Standards Authority of Malaysia (ASA)

Advertising Standards Authority of Malaysia (ASA) atau Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia.

ASA Malaysia mengeluarkan Kod Amalan Pengiklanan Malaysia (Malaysian Code of Advertising Practice, MCAP), yang berfungsi sebagai garis panduan kawal selia kendiri untuk industri pengiklanan.

Ia menggalakkan pengiklanan yang bertanggungjawab dan menyediakan garis panduan untuk mengelakkan kandungan yang menyinggung, mengelirukan atau berbahaya.

6. Peraturan Industri Khusus

Pengiklanan Makanan:

Kementerian Kesihatan Malaysia mengawal selia pengiklanan berkaitan makanan dan kesihatan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, memastikan tuntutan tentang manfaat kesihatan tidak melampau.

Produk Farmaseutikal dan Kesihatan:

Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 menghadkan pengiklanan yang berkaitan dengan ubat-ubatan dan produk penjagaan kesihatan, terutamanya yang memerlukan preskripsi.

Alkohol dan Tembakau:

Pengiklanan berkaitan alkohol dan produk tembakau dikawal dengan ketat, dengan menghadkan lokasi dan cara produk ini boleh dipromosikan.

7. Akta Hak Cipta 1987

Undang-undang ini mengawal iklan bagi bahan yang mempunyai hak cipta. Pengiklan perlu memastikan bahawa kandungan yang mereka gunakan, seperti imej, video dan muzik, tidak melanggar hak harta intelek orang lain.

8. Akta Persaingan 2010

Walaupun tidak dikhususkan kepada pengiklanan secara langsung, akta ini memastikan sebarang perniagaan tidak terlibat dalam amalan anti-persaingan. Sebagai contoh, konspirasi atau pengiklanan yang mengelirukan untuk mengurangkan persaingan boleh didakwa di bawah undang-undang ini.

9. Kod Penyiaran

Kod Kandungan yang ditadbir oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Communications and Multimedia Content Forum, CMCF) menggariskan piawaian etika untuk media penyiaran dan kandungan digital, termasuk iklan. Ia terpakai untuk semua platform termasuk iklan TV, radio dan digital.

Pengiklan di Malaysia mesti memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan akta ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang, melindungi pengguna dan mengekalkan kepercayaan dalam pasaran.

    Comments are closed