Kenapa perlu buat iklan?

Kadang-kadang kita terfikir, kenapa jenama besar yang sudah terkenal seperti Toyota, Apple, dan lain-lain sentiasa membuat iklan?

Jika kita buka Youtube contohnya, mesti terjumpa video iklan mereka.

Jika kita buka medsos lain pun, kerap kali juga terjumpa iklan mereka.

Adakah mereka sengaja mahu bazirkan duit keuntungan mereka dengan buat iklan walaupun jenama sudah terkenal?

Jom kita lihat kepentingan buat iklan.

1. Membina dan mengekalkan identiti jenama perniagaan

Untuk membina jenama sesuatu perniagaan supaya dikenali ramai, membuat iklan supaya sampai kepada seramai mungkin pengguna adalah sangat penting. Ini kerana, hanya dengan membuat iklan sesuatu jenama itu akan dijumpai oleh pengguna yang belum pernah tahu kewujudan jenama tersebut.

Setelah dikenali, dalam dunia yang penuh persaingan sekarang, iklan memainkan peranan penting untuk memastikan jenama tersebut kekal sebagai satu jenama yang dikenali. Tanpa iklan, jenama tersebut mungkin akan tenggelam dan dilupai. Bahkan, mungkin pengguna yang sudah mengenali jenama tersebut menganggap jenama tersebut sudah mati kerana tiada lagi aktiviti yang mereka boleh nampak seperti iklan.

2. Untuk mempromosikan produk baru dan lama

Walaupun sesuatu jenama perniagaan itu sudah dikenali ramai, namun persaingan dengan jenama lain boleh membuatkan pembeli lupa dengan produk yang dijual jenama tersebut. Dengan membuat iklan berterusan, pelanggan akan sentiasa sedar dengan kewujudan produk tersebut, terutamanya semasa mereka mahu membuat senarai semak pembelian sebelum membeli.

Bukan itu saja, iklan juga mampu membantu pemilik produk untuk mempromosikan produk baru kepada pelanggan sedia ada mereka, dan juga kepada pelanggan baru.

Perasan tak, jenama pempengaruh terkenal seperti Khairul Aming, pengguna hanya kenal Sambal Nyet dan Daging Denden saja. Jika kita buka Tiktok Shop beliau, sebenarnya ada lagi produk lain yang beliau jual tetapi tak ramai orang beli. Sebabnya, beliau tidak buat iklan untuk mempromosikan produk tersebut.

Inilah pentingnya sentiasa buat iklan, supaya produk kita terus mendapat tempat di kalangan pembeli.

3. Mewujudkan dan mengekalkan hubungan dengan pengguna

Seperti manusia yang perlu sentiasa muncul untuk kekalkan hubungan sesama manusia, produk dan jenama juga perlu sentiasa muncul di mata pengguna supaya hubungan antara pengguna dengan produk atau jenama dapat diwujudkan dan dikekalkan.

Dengan kreativiti membuat iklan yang mampu menyentuh emosi, pengguna akan sentiasa rasa terhubung dengan jenama tersebut. Seterusnya mereka rasa tidak asing untuk mencuba jenama baru tersebut, dan terus menjadi pengguna tetap.

Tanpa iklan, pengguna akan rasa seperti ditinggalkan dan mereka akan membuat keputusan untuk mencuba jenama lain yang sering muncul di mata mereka.

4. Meningkatkan jualan

Iklan yang sampai kepada sasaran pembeli yang betul mampu meningkatkan jualan berlipat kali ganda. Tanpa iklan, sehebat dan sebaik mana pun produk anda, jualan mungkin hanya sekadar cukup makan saja, dan mungkin tiada jualan langsung.

Kerana itu, membuat iklan yang berterusan sangat penting. Lagi bagus sekiranya teknik iklan yang dibuat sentiasa mengikut trend semasa supaya lebih mudah mendapat sambutan.

5. Salah satu cara mencapai elemen pemasaran

Terdapat 8 elemen pemasaran yang perlu kita tahu:

  1. Keperluan
  2. Kehendak
  3. Permintaan
  4. Produk
  5. Pertukaran
  6. Urusniaga
  7. Nilai
  8. Pasaran

Elemen-elemen ini penting untuk memastikan sesuatu jenama terus releven dan memberi keuntungan. Elemen-elemen ini biasa berubah mengikut trend semasa.

Untuk mencapai elemen-elemen ini, iklan adalah salah satu cara mustahak yang perlu dibuat. Tanpa iklan, kesemua elemen ini gagal dilengkapi dan akan menyumbang kepada kegagalan perniagaan.

Kerana itulah kita dapat lihat kenapa jenama terkenal sentiasa melabur dalam pengiklanan walaupun jenama mereka sudah terkenal.

Kesimpulannya, iklan memainkan peranan yang sangat penting dalam sesuatu perniagaan. Tanpa iklan, sesuatu jenama mungkin akan ketinggalan jauh daripada pesaing.

Dengan teknologi yang canggih dan mudah sekarang, kreativiti membuat iklan yang menarik sangat penting kerana tarikan ini adalah penting untuk memberi kesan yang besar kepada pengguna.

Oleh itu, sentiasalah buat iklan tidak kira iklan video, bergambar atau bertulis.

Semoga artikel ini memberi sedikit info kepada anda tentang kepetingan membuat iklan berterusan.

    Comments are closed