Bilangan kediaman tidak terjual meningkat lagi

KUALA LUMPUR: Bilangan kediaman tidak terjual di Malaysia meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga tahun ini.

Ini merupakan peningkatan 48.35% berbanding 20,304 unit tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan data diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), ini melibatkan jumlah RM19.54 bilion.

Perkembangan terbaru ini bermakna trend membimbangkan ini berterusan dan malah, bertambah buruk.

Pada suku pertama 2018, bilangan kediaman tidak terjual dicatatkan pada 25,913 unit bernilai RM15.68 bilion, sebelum meningkat lagi kepada 29,227 unit dengan nilai RM17.24 bilion menjelang suku kedua.

Bagi suku ketiga, jumlah unit tidak terjual berjumlah 40,916 unit, bernilai RM27.38 bilion, sekiranya mengambil kira pangsapuri servis (serviced apartments) dan ‘Small Office Home Office’ atau SOHO.

Menurut takrifan JPPH, kediaman tidak terjual adalah kediaman yang telah siap dibina tetapi tidak dibeli dalam tempoh sembilan bulan selepas pelancaran dan penerimaan kelulusan didiami oleh pihak berkuasa.

Kebanyakan unit tidak terjual terdiri daripada unit berharga RM500,000 dan ke atas, iaitu lebih 12,000 unit.

Empat negeri yang mempunyai kediaman tidak terjual terbanyak adalah Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Petikan dari Astro Awani­

Leave a Reply

Your email address will not be published.

HabNiaga.com