Fahami konsep simpanan dan pelaburan

Simpanan dan pelaburan penting dalam mencapai objektif kewangan yang diinginkan.

Namun, apakah perbezaan di antara simpanan dan pelaburan?

Dalam situasi bagaimana perlu menyimpan dan melabur?

Sebelum itu, kita perhalusi definisi simpanan.

Menurut Kamus Dewan dan Bahasa menyatakan: “Simpanan wang di bank dan sebagainya yang boleh dikeluarkan dari semasa ke semasa tetapi masih mendapat faedah tahunan berdasarkan baki simpanan yang ada.”

Manakala pelaburan pula mempunyai definisi seperti berikut: “Jumlah wang (modal) yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga, penanaman modal” dan “Sesuatu yang dibeli dengan harapan akan mendapat keuntungan berlipat ganda, penanaman modal: pembelian tanah merupakan suatu bentuk yang menguntungkan.”

Jika dilihat pada definisi simpanan dan pelaburan, kedua-duanya mempunyai beberapa persamaan, iaitu simpanan dan pelaburan memerlukan modal.

Simpanan dan pelaburan mampu menjana pendapatan dan boleh dikeluarkan apabila diperlukan.

Kelebihan simpanan

Simpanan biasanya merupakan duit yang disimpan di institusi kewangan seperti bank. Simpanan biasa dan simpanan semasa adalah dua jenis simpanan popular. Ada simpanan yang memerlukan deposit sedikit, serendah RM10 pun dah boleh buka akaun simpanan.

Di Malaysia, amat bertuah kerana wujudnya Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang melindungi semua jenis pendeposit, sama ada individu atau entiti perniagaan.

Had perlindungan maksimum adalah RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli.

Ini bermakna jika apa-apa berlaku, duit yang ada dalam akaun simpanan selamat kerana dijamin kerajaan.

Kebiasaannya, akaun simpanan datang sekali dengan kad ATM. Ini memudahkan urusan untuk mengeluarkan duit apabila perlu. Nak pakai duit, pergi mana-mana mesin ATM dan dapatkan wang tunai dalam masa tak sampai seminit.

Bagi mereka yang takut untuk membawa wang banyak atau inginkan transaksi tanpa tunai, ada juga kad debit disediakan. Cuma ‘swipe’ sahaja, akaun simpanan akan ditolak jumlahnya. Secara tidak langsung, ia juga menggalakkan untuk berbelanja mengikut kemampuan dan tidak berhutang.

Kelemahan simpanan

Simpanan bukanlah tempat untuk menggandakan wang.

Jika dibiarkan begitu saja dalam bank, nilai wang tersebut akan menyusut disebabkan inflasi.

Memang benar duit dalam akaun simpanan akan menerima faedah, tetapi terlalu kecil jika dibandingkan dengan inflasi sebanyak 1 peratus hingga 3.8 peratus setiap tahun.

Seterusnya, kemudahan kad ATM dan kad debit juga boleh menjadi kelemahan.

Ini kerana amat mudah untuk berbelanja.

Jika dilakukan tanpa kawalan, duit simpanan pun boleh habis tanpa disedari.

Kelebihan Pelaburan

Bagi pelaburan pula, empat kepentingan pelaburan ialah:

Mengatasi Inflasi: Pelaburan mampu berikan pulangan yang lebih tinggi melebihi kadar inflasi.

Sumber pendapatan: Pelaburan berupaya menjana pendapatan pasif bagi membantu menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Pulangan yang baik: Pelaburan dapat menggandakan wang.

Capai matlamat kewangan: Sama ada kita ingin beli rumah, wujudkan tabung pendidikan anak-anak, modal untuk berniaga, sebagai tabung persaraan, pelaburan adalah jawapannya.

Kelemahan pelaburan

Setiap pelaburan ada risiko tersendiri.

Biasa dengar istilah ‘High Risk High Return?

Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Begitulah kisahnya dengan pelaburan, ada yang berisiko rendah dengan pulangan rendah seperti deposit tetap.

Ada juga yang berisiko sederhana dengan pulangan sederhana seperti unit amanah dengan pulangan 10 peratus ke 15 peratus setahun.

Nak untung 30 peratus sehari?

Anda mampu raih pulangan setinggi itu dengan pelaburan saham.

Tapi adakah sanggup rugi sebanyak 30 peratus sehari?

Yang Mana Perlu Diutamakan?

Dalam perancangan kewangan, disarankan mempunyai tabung simpanan sebanyak tiga ke enam bulan gaji bulanan.

Ini bermakna, bagi mereka yang bergaji RM3,000 sebulan, perlu ada RM9,000 ke RM18,000 di dalam akaun simpanan.

Dengan adanya duit sebanyak ini, kita dapat bersedia untuk berdepan sebarang musibah.

Tapi malangnya, menurut Bank Negara Malaysia, tiga daripada empat rakyat Malaysia tidak mampu sediakan RM1,000 jika berlaku kecemasan.

Ini membuktikan rakyat Malaysia memang tidak mempunyai tabiat menyimpan!

Apabila tabung simpanan mencukupi, barulah beralih kepada pelaburan.

Setiap pelaburan memerlukan ilmu dan masa untuk berkembang.

Tiga kriteria pemilihan instrumen pelaburan terbaik untuk diri sendiri, adalah dengan mengenal pasti tahap toleransi terhadap risiko, jangka masa pelaburan dan tahap kecairan.

Jika tidak, jadilah kita sebahagian daripada statistik di mana hampir sejuta rakyat Malaysia kerugian RM3.8 bilion disebabkan terpedaya dengan skim-skim cepat kaya!

Artikel asal dari Bisnes Sinar

Leave a Reply

Menu Utama